Tumpuan :
Sukan

PDRM buat kawalan rapi pada final Pestabola Merdeka 

Latihan terakhir Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka malam esok.- Foto: FAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Pihak polis membuat persiapan rapi membabitkan pelbagai jabatan dan unit Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)  malam esok.

Polis menjangkakan 45,000 peminat bola akan hadir menyaksikan perlawanan yang membabitkan Harimau Malaya menentang Tajikistan yang dijadual berlangsung pada jam sembilan malam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata semua pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 6 petang dan perlawanan dijadualkan bermula pada jam 9 malam.

 

Penjualan tiket perlawanan akhir Pestabola Merdeka lewat petang tadi.- Sumber: FAM

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium,” katanya.

Zam Halim berkata penyokong perlu tahu senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.“Mercun, bunga api, suar (flare), topi keledar, pen laser, objek tajam seperti kayu dan besi, senjata tajam dan merbahaya, minuman keras dan tongkat adalah bahan terlarang.

“Selain itu, power bank, botol air, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, vape dan bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan juga adalah bahan terlarang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya untuk memastikan kelancaran lalu lintas, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ.

“Orang ramai yang tidak ke perlawanan itu diminta mengelak menggunakan jalan di sekitar stadium bagi mengelak berlaku kesesakan. Patuhi arahan anggota polis yang bertugas.

“Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium bagi mengelak tindakan saman atau kenderaan ditunda,” katanya

.Tambahnya, pengguna jalan raya dinasihati mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur.“Kita juga mohon semua pihak menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu,” katanya.

Loading...
Terkini