KUALA TERENGGANU: Pemillihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebagai gelanggang aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan pada Jun depan adalah sejarah buat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Marzuki Sulong berkata, pihaknya begitu menghargai kepercayaan yang diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kerana sebelum ini aksi melibatkan skuad Harimau Malaya kebanyakannya berlangsung di Lembah Klang.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga turut menghulur tangan tanda terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang diketuai pengendali kelahiran Korea Selatan, Kim Pan-gon kerana sudi bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin nanti.
Katanya, pemillihan stadium itu bukan sahaja mampu menyemarakkan lagi sukan bola sepak, malah ia turut memberi peluang kepada peminat setia khususnya di Pantai Timur dapat melihat pasukan kesayangan mereka beraksi dengan lebih dekat lagi.
“Pemilihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin boleh disifatkan sebagai sejarah buat persatuan bola sepak negeri dan juga peminat setia dari seluruh Pantai Timur kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk menjadi tuan rumah perlawanan peringkat antarabangsa walaupun aksi persahabatan.
“Terima kasih kepada presiden FAM dan pihak pengurusan pasukan Harimau Malaya, tidak dilupakan barisan kejurulatihan yang diketuai Pan-gon kerana sudi menggunakan gelanggang kami sekali gus menyaksikan peminat setia boleh melihat pemain kebangsaan beraksi secara lebih dekat.
“Pada masa sama kami juga mengharapkan seluruh peminat terutama di Pantai Timur dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pemain ketika beraksi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada skuad negara sekali gus mampu memperbaiki ranking yang lebih baik berbanding kedudukan ke-138 dunia ketika ini.
“Buat pemain yang terpilih mewakili skuad negara nanti, buktikan kemampuan masing-masing dengan memperagakan aksi bertenaga dan mantap untuk mengatasi lawan,” katanya ketika dihubungi.
Marzuki berkata berdasarkan jadual, skuad negara bakal menentang pasukan yang berada di ranking ke-136 dunia iaitu Kepulauan Solomon pada 15 Jun dan pasukan ke-154 dunia, Yaman pada 20 Jun.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang pernah berlaku tragedi sebahagian bumbung runtuh pada 2 Jun 2009 adalah stadium terbesar di Pantai Timur yang mampu memuatkan 50,000 penonton.