Tumpuan :
Sukan

Pasukan Hoki TNB mahu akhiri kemarau 20 tahun

Barisan pemain yang akan menggalas cabaran skuad TNB dalam saingan Liga Hoki Malaysia yang bermula Khamis ini.

KUALA LUMPUR: Sasaran kejuaraan berganda menjadi misi penting pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mahu mengulangi pencapaian 20 tahun lalu dalam saingan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) yang akan membuka tirainya, Khamis ini.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata misi pertama kini terarah bagi merebut trofi Piala Sumbangsih apabila bakal berhadapan dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

“Kita tidak boleh nak menunggu ke hadapan. Jadi pada perlawanan Khamis ini adalah yang pertama untuk kita cuba.

“Kita cuba dapatkan yang itu dulu. Kita akan cuba memberikan tentangan sengit kepada Terengganu untuk merebut kejuaraan musim ini,” katanya pada majlis pengenalan pemain TNB dan TNB Thunderbolts di sini, hari ini.

Musim lalu, TNB hanya berjaya meraih satu kejuaraan iaitu Piala TNB selepas menewaskan THT 3-2 pada aksi final.

Sebagai rekod, TNB tidak pernah gagal menyertai TNB MHL sejak diperkenalkan pada 1987 dan dua kali meraih kemenangan berganda pada musim 1991-1992 dan 2003.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan ketiadaan tiga tonggak utama iaitu Shahril Saabah serta Syafiq Sumantri yang masih belum cergas sekembalinya dari tugasan Piala Dunia di Bhubaneswar bulan lalu, serta Nik Aiman Rozemi yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), Nor Saiful mengakui dia terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam pasukannya.

Justeru dia mengambil keputusan untuk menambah muka baharu untuk diserap ke dalam pasukan TNB antaranya Hafiz Zainol dan Azri Hassan yang pernah beraksi bersama pasukan UiTM sebelum ini, serta Danish Danial Abd Wahab yang merupakan pemain daripada program Thunderbolts.

Loading...
Terkini