Tumpuan :
Sukan

Pasukan hoki dalam dewan tewas lagi kepada Argentina

Aksi skuad negara ketika berdepan Argentina. – FOTO: FIH

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki dalam dewan lelaki sekali lagi dikecewakan pasukan Argentina apabila tewas 2-6 pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 Kejohanan Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia, sebentar tadi.

Argentina tidak memerlukan tempoh lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Joaquin Gonzalez pada minit ke-10 sebelum Gaston Rodriguez menggandakan kedudukan selang tiga minit kemudian.

Facundo G Navarro menambah derita skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi pada minit ke-15 untuk gol ketiga Argentina sebelum Santiago Moron terus membolosi gawang negara selang seminit kemudian.

Rodriguez meledak gol keduanya dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika itu pada minit ke-23 namun Muhammad Ashran Hamsani menjaringkan gol pertama negara selang dua minit kemudian untuk membangkitkan semula motivasi pasukan.

Muhamad Izham Azhar menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit ke-39 namun Argentina nyata sukar digugat apabila meledak gol keenam mereka menerusi Juan Eleicegui, seminit kemudian.

Sebelum ini, Malaysia tumpas 2-5 di tangan Argentina pada aksi kedua Kumpulan B.

Malaysia mengakhiri saingan kumpulan yang turut disertai Iran dengan berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Skuad negara dijadual menyertai perlawanan penentuan tempat ke-11/12 pada Ahad ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini