Tumpuan :
Sukan

Pasukan hoki dalam dewan tamatkan saingan di tempat ke-11

Pemain negara meraikan kejayaan mengatasi Trinidad & Tobago. – FOTO: FIH

KUALA LUMPUR: Malaysia akhirnya berjaya meraih kemenangan apabila berjaya menundukkan Trinidad & Tobago 6-4 sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-11 pada Kejohanan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Lelaki 2025 di Porec, Croatia, hari ini.

Beraksi di Pusat Sukan Zatika untuk penentuan tempat ke-11 dan 12, kedua-dua pasukan turun dalam misi mendapatkan kemenangan sulung.

Trinidad & Tobago terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mickell Pierre seawal minit ketujuh sebelum Darren Cowie mengukuhkan kedudukan 2-0 minit ke-10.

Malaysia yang ketinggalan berjaya melakukan kebangkitan apabila Muhammad Ashran Hamsani menjaringkan dua gol pantas dalam masa 60 saat pada minit ke-14 sebelum Abdul Khaliq Hamirin mencetak nama selaku penjaring tiga minit selepas itu tetapi kelebihan itu segera dipadamkan oleh Teague Marcano minit ke-20 untuk menjadikan kedudukan terikat 3-3.

Perlawanan terus berlangsung dengan lebih rancak apabila Trinidad & Tobago kembali mendahului 4-3 melalui Jordan Viera minit ke-21 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan.

Di suku terakhir, anak buah Rodzhanizam Mat Radzi terus mencipta peluang dan berjaya mendapatkan dua gol daripada Khaliq Hamirin dan Faridzul Afiq Mohd pada minit ke-33 dan 37 sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-4.

Kemenangan itu membolehkan pasukan negara berjaya mengelak daripada berada di tangga tercorot.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan pertama buat Malaysia pada kejohanan berkenaan selepas gagal melakukannya sebelum ini apabila tewas kepada lawan masing-masing dalam kesemua perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini