KUALA LUMPUR: Skuad boling Malaysia berada di landasan tepat menambah warna pingat selepas pasukan lelaki dan wanita layak ke separuh akhir Kejohanan Boling Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.
Pasukan lelaki dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Fishol, dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam mempamerkan permainan cukup meyakinkan meskipun tewas permainan pertama sebelum bangkit untuk menewaskan Jerman 3-1 (184-258, 234-199, 210-190, 202-184).
Menanti mereka adalah Kuwait yang mengalahkan Singapura 3-0 (206-191, 192-188, 201-179).
Sementara itu, pasukan wanita dibarisi Natasha Roslan, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim mengejutkan juara bertahan, Sweden 3-0 (221-200, 187-142, 206-224, 226-185) untuk bertemu Macau di separuh akhir.
Macau terpaksa berhempas-pulas sebelum menang 3-2 ke atas pasukan pilihan, Jerman (166-155, 204-169, 147-174, 158-191, 170-161) untuk mara menjadi empat pasukan terbaik.
Jurulatih, Wendy Chai melaungkan keyakinan terhadap anak buahnya untuk mara lebih jauh dalam aksi separuh akhir esok.
“Pasukan (lelaki dan wanita) sudah menunjukkan prestasi cemerlang sejak kejohanan bermula dan keserasian antara mereka sangat luar biasa sepanjang acara berpasukan ini.
“Walaupun wujud keletihan mental akibat perlawanan berterusan dan keadaan agak sejuk, mereka tetap mengekalkan semangat juang. Esok adalah peluang baharu untuk kita (dapat pingat lebih baik),” katanya.
Terdahulu, Natasha mencipta sensasi dalam acara perseorangan wanita untuk meraih emas sementara Rafiq pula membawa pulang pingat perak dalam kategori lelaki.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.