KUALA LUMPUR: Atlet para negara, Wong Kar Gee terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara lompat jauh lelaki T12 (kecacatan penglihatan) di Sukan Paralimpik Paris, sebentar tadi.
Pada aksi final di Stade de France itu, Kar Gee, 33, yang mencatat 6.85 meter (m) pada percubaan pertama hanya dibezakan 0.03m dengan pemenang pingat gangsa dari Argentina, Fernando Vazquez.
Lebih memeritkan, Vazquez melakukan lompatan sejauh 6.88m pada percubaan keenam yang juga terakhir untuk membolehkan dia memintas Kar Gee yang sebelum itu di kedudukan ketiga dan berpeluang untuk sekurang-kurangnya merangkul gangsa.
Pingat emas acara itu dimenangi atlet Azerbaijan, Said Najafzade yang melakukan lompatan sejauh 7.27m manakala perak menjadi miliki Donior Saliyev dari Uzbekistan dengan catatan 7.16m.
Catatan dilakukan Kar Gee pada aksi di Paris kali ini jauh jika dibandingkan rekod peribadi terbaiknya 7.06m ketika dia muncul naib juara dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Malah, dia juga menamatkan saingan di tempat ketiga ketika Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun pada Mei lalu dengan catatan 7.05m.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu beraksi di Paralimpik selepas edisi Tokyo 2020 yang menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan keenam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.