Tumpuan :
Sukan

Para SUKMA: Nursufiah guna gigi untuk sampai ke penentuan pingat

FOTO: NSTP

KUCHING: Nama Nursufiah Mohd Nizam mungkin asing di kalangan peminat sukan tempatan namun kejayaannya melangkah ke peringkat penentuan pingat pada temasya Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para SUKMA XXI) kini semakin menarik perhatian.

Anak jati Kuala Lumpur berasal dari Jalan Klang Lama itu pada mulanya tidak meletakkan sasaran mampu mara ke peringkat itu.

Nursufiah, 27, berkata ini kali pertama dia beraksi pada pentas Para SUKMA dan banyak kesukaran yang dihadapi terutamanya apabila dia peserta wanita tunggal yang melepaskan anak panah menggunakan gigi.

“Ini penyertaan pertama saya pada Para SUKMA dan baru menceburi acara ini bermula tahun lalu.

“Memang sukar bersaing dengan peserta lain yang memegang anak panah dengan tangan, sedangkan saya menggunakan gigi,” katanya.

Nursufiah yang berpasangan dengan Nurul ‘Amilin Balawi tewas tipis kepada pemanah Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed dan Nor Shahidatina Razab pada penentuan pinga gangsa di Lapang Sasar Memanah Sarawak, hari ini.

Norhaslina dan Nor Shahidatina memperolehi 80 mata manakala Nursufiah dan Nurul ‘Amilin pula mengutip 78 mata.

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini walaupun gagal menyumbang pingat untuk Kuala Lumpur.

“Pengalaman pertama pada Para SUKMA ini menyuntik semangat saya dan berazam untuk beraksi lebih baik pada kejohanan lain termasuk Para SUKMA akan datang,” ujarnya.

Nursufiah berkata, dia mengalami kecacatan tangan kanan selepas menghidap barah otak sejak tujuh tahun lalu.

“Saya dilahirkan normal, namun ketika usia saya kira-kira 20 tahun, saya menghidap barah otak menyebabkan tangan saya tidak berfungsi sepenuhnya apabila tidak mampu memegang, hanya boleh digerakkan sahaja.

“Kecacatan ini tidak melemahkan semangat saya dan berterima kasih kepada pasukan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai Para SUKMA kali ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, berikutan penyertaan pada Para SUKMA XXI, dia juga terpaksa menangguhkan rawatan kemoterapi dan hanya akan menyambungnya semula bulan depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini