comscore
Tumpuan :
Sukan

Pang Ron-Ee Wei sahut cabaran BAM

Pang Ron-Ee Wei janji berjuang habis-habisan buru tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron menyahut cabaran selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan dia dan pasangannya, Toh Ee Wei untuk layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pang Ron, berkata walaupun perlu bersaing dengan tiga beregu campuran profesional negara yang jauh lebih berpengalaman bagi memburu tiket ke Paris namun dia menjadikan perkara itu sebagai motivasi buat dirinya untuk menampilkan prestasi terbaik.

Katanya, dia dan Ee Wei bersedia untuk berjuang habis-habisan bagi untuk membuat kemunculan sulung di pentas Sukan Olimpik.

“Memang ia (sandaran Olimpik) jadi satu motivasi untuk kami kerana setiap pemain pasti ada impian untuk ke sana. Kami akan berjuang habis-habisan untuk layak tetapi saya tahu, kami perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

“Memandangkan kejohanan seterusnya adalah pada Terbuka Malaysia Januari depan, jadi kami ada masa untuk tingkatkan kombinasi. Saya tahu ada tiga beregu di luar sana (profesional), namun persaingan itu dapat membantu kami menjadi lebih baik,” katanya.

Pang Ron-Ee Wei yang berada di kedudukan ranking ke-34 dunia ketika ini memegang status sebagai pasangan paling senior dalam skuad kebangsaan selepas Chan Peng Soon-Cheah Yee See meninggalkan BAM minggu lalu.

Walaupun mengakui ia tanggungjawab yang besar, Pang Ron menegaskan dia sentiasa bersedia untuk menjadi contoh terbaik buat rakan sepasukan yang lain.

“Memang sudah jangka (jadi senior) kerana dari semasa ke semasa sentiasa ada pemain yang keluar dan bertukar-tukar, oleh itu saya memang bersedia untuk ambil tanggungjawab sebagai pemain senior.

“Bagi saya, ini boleh dianggap sebagai lumrah hidup dan saya juga tidak boleh nak berada dalam zon selesa sahaja. Jika mahu meningkat, kami perlu berani untuk berdepan cabaran,” kata pemain berusia 24 tahun itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini