KUALA LUMPUR: Pemain KL City FC, Romel Morales menjadi ‘senjata baharu’ skuad Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 selepas pemain itu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 26 Disember ini.
Penggempur yang menjadi pemain naturalisasi terkini negara itu antara empat muka baharu dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sebagai persiapan menghadapi Piala Asia di Qatar yang bakal membuka tirainya, 12 Januari ini.
Tiga lagi muka baharu terbabit adalah dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Syamer Kutty Abba serta pertahanan Selangor FC (SFC), Ahmad Khuzaimi Piee.
Secara keseluruhan, tiada perubahan drastik dilakukan Pan Gon untuk menghadapi temasya terbabit apabila jurulatih dari Korea Selatan itu mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu.
Justeru, terdapat kesinambungan yang jelas dalam kalangan pemain yang sebelum ini sudahpun beraksi bagi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan lalu.
Dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Dion Cools (Buriram United) dan Junior Eldstal (Dewa United) turut dipanggil untuk memperkasa skuad kebangsaan kali ini.
Bagaimanapun Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.
Sementara itu, 19 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia jika terdapat perubahan dalam senarai 26 pemain yang dipanggil.
Anatarnya termasuk Feroz Baharuddin dan Nathaniel Shio Hong Wan dari JDT, Hakim Hassan (TFC), Mukhairi Ajmal (Selangor) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki FC)
Sebagai rekod, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan membuka kempen Piala Asia 2023 berdepan Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain di di Stadium Jassim Bin Hamad, 20 Januari.
Pasukan nombor tiga Asia, Korea Selatan akan menjadi lawan terakhir buat skuad negara di peringkat kumpulan pada 25 Januari.