comscore
Tumpuan :
Sukan

Pan Gon ramal kebangkitan bola sepak Indonesia

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kejayaan Indonesia mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 buat kali pertama semalam, turut mencuri tumpuan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tanpa berselindung meramalkan Indonesia bakal muncul kuasa baharu bola sepak Asia Tenggara tidak lama lagi.

Pan Gon berkata beliau dapat melihat Indonesia berusaha keras untuk mencapai kejayaan itu sambil menekankan bahawa keperluan Malaysia meningkatkan usaha untuk menyahut cabaran tersebut.

“Bagi saya, Indonesia akan menjadi pasukan utama di sekitar sini tidak lama lagi, mereka berusaha keras tetapi kita mesti mencabar,” katanya pada sidang media selepas Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, di sini malam semalam.

Indonesia mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Jakarta semalam, sekali gus muncul naib juara Kumpulan F pada kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Skuad Garuda di bawah bimbingan jurulatih senegara Pan Gon, Shin Tae-Yong, turut menempah slot awal Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Antara usaha Indonesia daripada perspektif Pan Gon ialah inisiatif Tae Yong melakukan ‘scounting’ di Eropah untuk mencari pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab di sana.

Bagaimanapun, Pan Gon, 55, yang tua dua tahun dari Tae Yong berpendirian, pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan pemain terbaik harus menjadi keutamaan sebelum meneroka usaha tambahan.

Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D dengan 10 mata di belakang Oman selaku juara dengan 13 mata dan Kyrgyzstan sebagai naib juara dengan 11 mata dan Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Juara dan naib juara kumpulan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik ke PIala Asia 2027.

Kegagalan skuad negara meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 menyaksikan mereka perlu mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung bermula Mac tahun depan.

– BERNAMA-

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini