Oleh: Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tetap memuji barisan pemainnya sekalipun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar pada aksi pertama kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium Thuwunna, Yangon malam tadi.
Pengendali berusia 53 tahun itu mengakui kemenangan itu bukannya hadir dengan mudah apabila pemain terpaksa beraksi dalam keadaan yang berbeza daripada biasa.
“Tahniah kepada pemain Harimau Malaya kerana menyumbang tiga mata. Ia adalah perlawanan yang sukar dengan keadaan padang, cuaca dan masa berbeza.
“Semua keadaan itu bukan mudah untuk para pemain tetapi kita sudah jangkakan ia satu perlawanan sukar kerana tiada pasukan yang mahu tewas di hadapan penyokong sendiri,” katanya pada sidang media di Stadium Thuwunna.
Sementara itu penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mengucapkan terima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan komitmen di dalam dan luar padang.
Ahmad Syihan muncul penyelamat Harimau Malaya apabila menafikan sepakan penalti Myanmar pada lewat permainan sekaligus mengekalkan jaringan tunggal Faisal Abdul Halim pada minit ke-52.
“Perlawanan malam ini (malam semalam) memang pembakar semangat pasukan dan saya minta semua penyokong Malaysia doakan kami pergi lebih jauh sehingga final.
“Bukan saya seorang tetapi semua pemain daripada pertahanan ke bahagian depan semua berikan segalanya,” jelas penjaga gol berusia 26 tahun itu.
Harimau Malaya akan pulang ke tanah air hari ini dan akan meneruskan aksi kedua menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jali, pada Sabtu.