Tumpuan :
Sukan

Padang Stadium Sultan Muhammad IV tidak rata, punca Perak FC diikat KUFC

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menyalahkan keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebagai punca pasukannya diikat Kelantan United Football Club (KUFC) tanpa sebarang jaringan, petang semalam.

Teong Kim berkata, mereka hanya boleh sekadar berpuas hati dengan satu mata kerana padang di Kota Bharu tidak rata.

“Kami cuba nak main dan menjadi masalah kalau padang itu tidak rata kerana di dalam banyak katak melompat-lompat (sebab keadaan padang) jadi nak main kombinasi itu susah.

“Bukan saya menghina sesiapa tetapi seseorang mesti membuat padang itu supaya sesuai untuk bermain bola sepak,” katanya di sidang media selepas perlawanan, petang semalam.

Beliau berkata, padang stadium itu sudah cantik dengan keadaan rumputnya namun hanya sekadar luaran kerana struktur padang masih tidak rata.

Katanya, Perak sukar mengatur gerak dengan keadaan padang sebegitu dengan keadaan bola asyik ‘melompat-lompat’.

“Pemain perlu tendang ke depan sahaja dan berharap lawan membuat kesilapan baru senang sikit nak dapatkan bola lebih rapat ke tiang gol lawan,” katanya.

FOTO: NSTP

Sementara Ketua Jurulatih KUFC, Tomas Trucha berkata, dia mengharapkan keputusan lebih baik daripada anak buahnya.

Katanya, beberapa pemain seperti Jose Elmer Porteria, Indra Putra Mahayuddin, Ernist Batyrkaanov, Royizzat Daud dijangka mampu menghasilkan jaringan namun tidak berjaya menjadikan gol.

“Babak kedua, kami nampak lebih menguasai permainan namun akhirnya berkeputusan 0-0. Saya harapkan pemain buat lebih banyak serangan, menguasai kawasan gawang gol dan tak hilang bola,” katanya.

Pengendali dari Republik Czech itu berkata, bagaimanapun anak buahnya menunjukkan permainan lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini menentang Selangor FC dan Sabah FC.

“Ini bukan soal pemain itu bagus atau tidak tetapi kena berlari, pemain mungkin penat dengan jadual yang padat namun lawan selepas ini kami fokus nak kutip tiga mata, bukan berkongsi mata macam hari ini (petang semalam),” katanya.

Katanya, dia mahu pemain lebih bersemangat dengan mentaliti mahu menang.

Semalam, Perak diikat KUFC dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Super 2023 dengan menyaksikan kedua pasukan masih gagal mengutip mata penuh sepanjang liga berlangsung. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini