comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Trio wanita buat persiapan rapi hadapi Indonesia

FOTO: MSN

KUALA LUMPUR: Trio memanah wanita negara akan membuat persiapan yang lebih rapi menjelang pertemuan menentang Indonesia pada aksi 1/8 bagi acara recurve berpasukan di Sukan Olimpik Paris 2024, Ahad ini.

Semalam, trio yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil menamatkan aksi penentuan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1918 mata pada aksi di Invalides.

Syaqiera, 23, yang kali kedua beraksi di Olimpik dan muncul pemanah terbaik wanita negara pada aksi penentuan ranking individu semalam apabila berada di kedudukan ke-14 dengan 663 mata, berkata mereka akan memanfaatkan tempoh dua hari ini bagi melakukan persiapan lebih spesifik bagi berdepan Indonesia.

“Kami pernah bertemu dengan Indonesia sebelum ini. Namun, semuanya nanti bergantung kepada keadaan pada hari pertandingan.

“Kami ada masa (dua hari) untuk menjalani latihan dan buat persiapan yang lebih spesifik untuk aksi menentang Indonesia. Sudah tentu kami akan cuba buat yang terbaik dalam acara berpasukan ini,” kata Syaqiera.

Bagi saingan individu, Syaqiera yang layak kali pertama di Olimpik Tokyo, tiga tahun lalu akan berdepan pemanah Moldova, Alexandra Mirca pada aksi 1/32, Selasa ini.

“Saya tidak pernah jumpa atlet Moldova sebelum ini, jadi saya akan lawan saja dan terima sebarang keputusan pada hari pertandingan nanti.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Kita pun tidak tahu nanti bagaimana dengan keadaan diri kita pada hari pertandingan, jadi apa yang saya boleh lakukan adalah buat persiapan dan kita tunggu hari pertandingan nanti,” katanya.

Ariana pula yang menamatkan saingan penentuan ranking individu di kedudukan ke-50 dengan 633 mata akan bertemu pemanah Itali, Chiara Rebagliati manakala Nurul Azreena akan menentang Elif Berra Gokkır dari Turkiye selepas menduduki tempat ke-60 dengan 622 mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini