comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Olimpik Paris: Persembahan hebat Celine Dion pukau peminat

FOTO: paris2024/Olympics

PARIS: Diva pop yang sebelum ini berjuang melawan masalah kekejangan otot teruk, Celine Dion tampil gah pada slot penutup acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 di sini, awal pagi tadi waktu tempatan.

Anggun menggayakan busana putih diserikan manik dan juraian, Dion yang disahkan mengalami Stiff Person Syndrome (SPS) kira-kira dua tahun lalu, mendendangkan lagu klasik pernah dirakam biduanita terkemuka Perancis, mendiang Edith Piaf berjudul L’Hymne a’ L’amour dari tingkat satu Menara Eiffel, di sini.

Kemunculan Dion di pentas malam pembukaan temasya sukan terbesar dunia itu cukup dinantikan peminat, apatah lagi bintang yang popular dengan lagu My Heart Will Go On yang menjadi runut filem ‘blockbuster’ Titanic kira-kira 27 tahun lalu itu, sudah lama tidak tampil beraksi secara langsung.

Tidak hairanlah kemunculan Dion dari ibu kota cinta dunia itu mendapat sambutan hangat peminat, yang menyaksikan detik bersejarah itu melalui pelbagai platform penstriman di seluruh dunia.

Dilaporkan, kali terakhir Dion tampil pada persembahan ‘live’ adalah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2020.

CNN melaporkan, penyanyi AS, Kelly Clarkson yang menjadi pengulas bagi program terbitan NBC mengakui kelu melihat aksi diva itu, malah menyifatkan Dion sebagai ‘atlet vokal’.

Kemunculan Dion melengkapkan acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung sepanjang Sungai Seine, menyaksikan pelbagai persembahan dijayakan ratusan penari sambil tumpuan diberi kepada 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet termasuk dari Malaysia yang belayar menyelusuri sungai berkenaan.

Kemunculan Dion di pentas Olimpik bukanlah asing apabila penyanyi itu pernah membuat persembahan di Olimpik Atlanta pada 1996 mendendangkan lagu The Power of the Dream. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini