comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Pearly-Thinaah sasar final, lupakan sejarah yang dicipta

PETALING JAYA: Menerima pujian melambung selepas kejayaan ke separuh akhir apabila mencipta sejarah Sukan Olimpik  beregu wanita pertama berbuat demikian, Pearly Tan-M Thinaah tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Kami tidak mahu leka dengan sejarah yang dicipta sehingga hilang fokus, sasaran kami untuk menghadapi  perlawanan akan datang,

“Kami tidak memikirkan apa hasil kami sekarang, kami memandang apa yang mendatang.

“Kami mencuba untuk menikmati permainan, itulah yang membantu kami selain sokongan jurulatih,” kata Thinaah, 26, dalam temu bual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pearly-Thinaah melakar sejarah apabila muncul beregu wanita pertama ke separuh akhir Olimpik mengatasi pencapaian suku akhir yang dilakukan oleh gandingan Woon Khe Wei-Vivian Hoo, pada Olimpik Rio 2016.

Pada suku akhir di Porte de la Chapelle Arena hari ini,  Paris Pearly-Thinaah mengenepikan beregu nombor lapan dunia dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong juga juara All England, 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah mengakui agak gementar dan mereka sukar untuk melelapkan mata menjelang pertemuan menentang beregu Korea Selatan itu.

“Kami menyedari betapa pentingnya perlawanan itu, bukan sahaja kepada kami, juga kepada lawan.

“Bagaimanapun kami saling mengingati agar kekal tenang dan menikmati aksi ‘rally’ sepanjang perlawanan,” kata Pearly yang berusia 24 tahun.

Pada separuh akhir esok, Pearly-Thinaah berdepan halangan lebih sukar, menentang beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang turut mengalahkan mereka pada saingan kumpulan.

Qing Chen-Yi Fan mudah mengatasi gandingan Bulgaria, Stoeva Soeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8 pada satu lagi aksi suku akhir.

“Kami datang ke Olimpik dengan ingatan kami tidak rugi apa-apa, kami hanya melakukan yang terbaik pada setiap perlawanan.

“Jadi menentang beregu China esok, kami akan kekalkan momentum kami, beri terbaik dan menikmati perlawanan,” ujar Pearly.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini