comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Olimpik Paris: Malaysia berarak megah, tuan rumah saji upacara perasmian mempesonakan


PARIS: Temasya berbilang sukan terbesar global edisi ke-33 akhirnya membuka tirai.

Lebih membanggakan, melihat kontinjen Malaysia yang berada di giliran ke-112 memukau dunia dengan berarak di Sungai Seine dibaluti pakaian tradisi berkonsepkan ‘The Malaya’ dikalangan 205 kontinjen dalam cuaca hujan renyai.

Enam atlet dan empat pegawai menggayakan busana warna hijau zaitun beserta motif keemasan yang menterjemahkan misi #GoForGold memenangi pingat emas pertama Malaysia. – FOTO: Majlis Sukan Negara Malaysia

Diketuai pembawa Jalur Gemilang Bertrand Rhodict Lises dari sukan terjun bersama atlet pelayaran Nur Shazrin Mohd Latif, bot yang turut membawa Nur Dhabitah Sabri, Khairulnizam Mohd Afendy, Ashley Lau dan Tan Rouxin serta empat pegawai termasuk Chef de Mission Datuk Hamidin Mohd Amin melintasi Iena Bridge yang berada di depan Menara Eiffel tepat jam 3.09 minit pagi waktu Malaysia.

Upacara pembukaan rasmi yang diatur penganjur mencatat sejarahnya yang tersendiri menerusi perarakan kontinjen bertanding menaiki bot menelusuri Sungai Seine di Paris sekaligus berbeza dan unik daripada kebiasaan diadakan di stadium pada edisi-edisi sebelumnya.

Trocadero Garden di Paris disinari cahaya lampu menarik semasa acara utama perasmian yang disempurnakan Presiden Perancis Emmanuel Macron. – FOTO: Reuters

Persembahan berlangsung selama empat jam penuh menghiburkan, warna-warni, ikonik, mengagumkan, sarat dengan sejarah serta simbolik yang kemudiannya bersambung di Trocadero Garden bagi upacara utama.

Tony Estanguet selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Thomas Bach yang merupakan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa serta Presiden Perancis Emmanuel Macron menyampaikan amanat temasya, disusuli bacaan ikrar sebelum lagenda bola sepak Zinedine Zidane memulakan penyerahan obor kepada barisan olimpian untuk menyalakan belon udara panas yang bakal dihidupkan menjadi kawah obor sepanjang temasya berlangsung sehingga 11 Ogos nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini