PARIS: Emas sulung Sukan Olimpik Paris 2024 berjaya digenggam China menerusi gandingan penembak Huang Yuting dan Sheng Lihao dalam acara 10m air rifle berpasukan campuran, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pada aksi final di pusat menembak kebangsaan Perancis di Chateauroux, mereka menewaskan pasangan Korea Selatan, Keum Ji Hyeon dan Park Ha Jun 16-12.
Kejayaan ini pastinya paling bermakna buat Sheng Lihao membaiki pencapaian di Olimpik Tokyo 2020 apabila menang pingat perak dalam acara individu.
Manakala ini merupakan penampilan sulung Huang Yuting di Olimpik.
Cabaran negara dalam sukan menembak digalas Johnathan Wong menerusi acara 10m Air Pistol.
Bagaimanapun hasratnya untuk melangkah ke final tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan.
Johnathan, 31, terpaksa akur apabila sekadar menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 peserta dengan catatan 570 mata.
Mengikut format pertandingan, hanya lapan peserta terbaik layak ke pentas final yang dijadual berlangsung, esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.