PARIS: Harapan negara mendapatkan sesuatu di acara basikal trek pecut masih di landasan betul apabila melepasi peringkat awal.
Sandaran utama, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menewaskan Luca Spiegel dari Jerman dengan kepantasan 9.885 saat (s) sekaligus menempah fasa peringkat kedua kira-kira tiga jam lagi.
Cabaran Mohd Shah Firdaus Sahrom pula disekat Mikhail Yakovlev di pusingan pertama, menerusi catatan 9.779s yang dilakar.
Shah dibezakan 0.569s yang memaksanya beraksi di fasa repechage malam nanti untuk meraih kelayakan seterusnya.
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang memulakan cabaran dalam kelas keirin wanita pula terpaksa akur dengan kedudukan keempat di saringan kelima.
Pelumba berusia 20 tahun itu terlepas peluang awal meraih slot suku akhir yang diperuntukkan kepada dua tangga teratas, namun bakal beraksi di peringkat repechage selepas ini untuk memburu dua slot terakhir yang diperuntukkan ke fasa lapan terbaik itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.