comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Azizulhasni tidak sabar mulakan kempen buru emas 7 Ogos ini

Paris 2024 akan menjadi penampilan kelima dan terakhir buat Azizulhasni di pentas Olimpik. – FOTO: Azizulhasni Awang / Facebook

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mula menghitung baki 12 hari sebelum dia memulakan aksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba berusia 36 tahun itu yang diberi julukan The Pocket Rocketman akan memulakan kempen dalam acara pecut individu yang dijadual berlangsung pada 7 Ogos ini di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines.

Dia turut akan beraksi dalam acara kegemarannya, keirin yang bermula pada 10 Ogos.

Azizulhasni, berkata dia teruja untuk memulakan aksi di Paris yang akan menjadi penampilan kelimanya dan yang terakhir di pentas Olimpik.

“12 hari lagi sebelum perlumbaan saya di Sukan Olimpik dan saya sangat teruja menantinya,” kata Azizulhasni yang mula beraksi di Olimpik bermula edisi 2008 di Beijing diikuti London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020.

Azizulhasni berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan hanya satu lagi kilauan pingat yang belum berada dalam genggamannya, iaitu emas dan itu adalah impiannya sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.

“Bagi diri sendiri, inilah kemuncaknya untuk meraih pingat emas sekalipun saya sedar bakal mendapat tentangan daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain.

“Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia,” kata Azizulhasni baru-baru ini.

Di Paris nanti, Azizulhasni turut ditemani dua lagi rakan seperjuangan iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini