KUANTAN: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak berdepan masalah layak ke separuh akhir acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, hari ini.
Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu mencatat masa 21.32 saat (s) yang juga terpantas, diikuti atlet Australia, Jack Boulton, 20, yang mencatat masa 21.52s.
Turut layak ialah atlet tuan rumah, Muhammad Efrain Feerzan Khan selepas mencatat 21.79s serta dua atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (21.84s) dan Khairul Hafiz Jantan (22.18s).
Seramai 16 atlet yang layak ke separuh akhir akan bersaing dijadualkan pada jam 6 petang ini.
Lapan atlet terbaik layak ke final pula akan berentap pada jam 9.40 malam ini.
Namun, tumpuan utama Azeem ialah dalam acara 100 meter yang dijadualkan esok, bagi melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris Julai depan.
Biarpun untuk memburu masa catatan 10s tampak sukar namun pelari berumur 20 tahun itu mempunyai pilihan kedua iaitu layak secara merit menerusi kedudukan ranking.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa