comscore
Tumpuan :
Sukan

OLAHRAGA: Peluang Azeem Fahmi, Khairul Hafiz, Zaidatul Husniah rebut slot ke peringkat akhir Kejuaraan Asia 

Malaysia mempunyai tiga pelari pecut iaitu Azeem Fahmi, Khairul Hafiz dan Zaidatul Husniah yang memburu slot akhir 100M di Bangkok esok

BANGKOK: Ada perkembangan memberangsangkan dari kem olahraga negara yang bersaing di Kejuaraan Asia ke-25 di Thailand.

Skuad pecut lelaki, menerusi Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Khairul Hafiz Jantan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (M), selepas melepasi halangan pusingan saringan petang tadi.

Zaidatul Husniah Zulkifli turut mencatat masa terpantas peribadi untuk meneruskan langkah ke perlumbaan berikutnya di Stadium Nasional, Supachalasai esok.

Khairul Hafiz yang bersaing di lorong pertama, perlumbaan satu bertarung bersama enam lagi pencabar.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mengakhiri saringan di kedudukan keempat, menerusi catatan 10.46 saat (S).

Namun nasib memihak atlet berusia 24 tahun itu apabila tetap mara ke fasa seterusnya esok, selaku enam pelari dengan catatan masa terbaik.

Pemegang rekod kebangsaan, Azeem Fahmi pula turun pada saringan kedua.

Pelari muda yang sedang menjalani latihan di Amerika Syarikat tahun ini, menunjukkan potensi awal apabila mengungguli perlumbaan.

Jaguh dalam pembikinan berusia 19 tahun itu yang berada di lorong terakhir, gagal dicabar sewaktu melintasi garisan penamat, seterusnya merakam kepantasan 10.24S.

Keputusan itu memastikan kedua-dua wakil Malaysia berentap di separuh akhir esok untuk memburu tempat ke perlumbaan kemuncak reben biru lelaki.

Wakil tunggal wanita di peringkat saringan 100M, Zaidatul Husniah juga tidak menghampakan.

Atlet berusia 29 tahun itu menamatkan larian di tempat keempat, namun catatan 11.56S tetap membawanya ke separuh akhir esok.

Lebih manis, ia merupakan catatan terbaik pemenang pingat perak acara sama di Kuala Lumpur 2017 itu, dengan mengatasi rekod lamanya 11.59S dilakukan di Jerman pada 2018.

Loading...
Terkini