BANGKOK: Cubaan pelari muda Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuat pecutan sensasi 100 meter di Kejuaraan Asia ke-25 tidak menjadi seperti diinginkan.
Berjaya membuat penampilan di perlumbaan akhir acara riben biru di Stadium Nasional Supachalasai, jaguh negara berusia 19 tahun itu terpaksa akur di kedudukan kelima keseluruhan, dengan catatan 10.25 saat (S).
Pertarungan penentuan manusia terpantas Asia pada tahun ini sengit apabila menampilkan dua wakil Jepun, Ryuichiro Sakai di lorong ketiga, dan Hiroki Yanagita di lorong kelima diikuti Femi Aeun Ogunode dari Qatar yang memegang rekod temasya menerusi catatan 9.91S di lorong kedua.
Sebaik perlumbaan dilepaskan, Azeem kelihatan ketinggalan sedikit pada permulaan.
Langkahan Yanagita pula meletakkannya di kedudukan paling hadapan sehinggalah mendahului tujuh pencabar lain ke garisan penamat.
Pecutan Azeem menuju penghujung perlumbaan menyaksikannya berada di posisi kelima keseluruhan.
Walaubagaimanapun, catatan 10.25S milik atlet berusia 19 tahun itu, didapati sama dengan Aeun Ogonode.
Pingat emas menjadi milik Yanagita menerusi 10.02S, dengan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi ditempat kedua, sementara wakil Iran Hassan Taftian meraih gangsa.