KUALA LUMPUR: Hari pertama saingan Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand menyaksikan Malaysia kempunan untuk menaiki podium selepas dua kuartet 4×100m lelaki dan wanita terlepas peluang untuk melakukannya.
Kuartet lelaki dibarisi Khairul Hafiz jantan, Jonathan Nyepa, Mohd Thaqif Hisham dan juga Muhd Azeem Fahmi layak ke peringkat akhir selepas melakar catatan 39.20 saat pada peringkat saringan di sebelah pagi.
Dan ia juga merupakan catatan terbaik kuartet negara musim ini menyaksikan mereka diletakkan di lorong keempat pada peringkat akhir.
Sebaik dilepaskan, Khairul Hafiz yang menjadi pelari pertama berjaya mengekalkan momentum lariannya.
Namun, memasuki larian pelari kedua dan ketiga, kuartet dari negara lain mula mengorak langkah ke depan.
Azeem yang menjadi pelari terakhir negara bagaimanapun tetap tampil dengan usaha keras untuk mengejar sebelum Malaysia akhirnya terpaksa berpuas hari di kedudukan keenam dengan catatan 39.17 saat.
Pingat emas menjadi milik tuan rumah Thailand yang memecahkan rekod kejohanan menerusi catatan 38.55 saat, sementara China meraih perak dengan catatan masa 38.87 saat.
Korea pula merangkul pingat gangsa dengan catat 38.99 saat.
Dalam saingan wanita, kuartet negara dibarisi Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi yang menggantikan Azreen Nabila Alias yang mengalami kecederaan selain Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas menamatkan aksi kelayakan dengan catatan terbaik musim iaitu 44.58 saat.
Diletakkan di lorong ketujuh, sudah dijangka, penguasaan lebih memihak kuartet China dan Jepun sejak dari awal lagi.
Usaha keras yang dilakukan kuartet negara terutamanya pelari terakhir, Chelsea akhirnya meletakkan Malaysia di kedudukan kelima menerusi catatan 45.56 saat.
China mengungguli saingan, meraih pingat emas dengan catatan 43.35 saat, sementara Jepun dengan pingat perak mencatat 43.95 saat.
Manakala Thailand ceria dengan pingat gangsa selepas melakar catatan 44.56 saat.