BANGKOK: Kemarau pingat kem olahraga negara yang bertanding di Kejuaraan Asia ke-25 akhirnya tamat di hari keempat saingan.
Malaysia dikalungkan pingat pertama, apabila atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin meraih gangsa apabila mencatat balingan sejauh 59.63 meter (M) dalam acara akhir sebentar tadi.
Seramai 12 peserta mengambil bahagian di penentuan pingat acara lempar cakera lelaki.
Daripada enam balingan, percubaan kedua atlet berusia 27 tahun itu sejauh 59.63M meletakkannya di kedudukan ketiga keseluruhan.
Pingat emas menjadi milik Abuduaini Tuergong dari China menerusi catatan 61.19M manakala atlet Kuwait Eissa Zankawi yang mencatat 60.23M meraih perak.
Irfan sebelum ini pernah membawa pulang pingat perak semasa edisi ke-22 di Bhubaneswar, India pada 2017.