Tumpuan :
Sukan

OLAHRAGA: Faktor angin tolak catatan 10.04 Azeem Fahmi jadi rekod baharu kebangsaan

Foto: Twitter

FLORIDA: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi melakukan satu lagi catatan besar dalam kariernya apabila merekod 10.04 saat (s) dalam acara 100 meter (m) antara kolej dan universiti di Amerika Syarikat.

Pemegang rekod kebangsaan dengan masa 10.09 saat itu bagaimanapun terpaksa akur larian yang dibuat semasa suku akhir saingan Trek dan Balapan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) tidak dapat diiktiraf kerana faktor bantuan angin sebanyak +5.5s.

“Walaupun saya tidak dapat meletakkannya sebagai catatan kebangsaan, saya masih berbangga dan tiada apa-apa lagi yang saya mahukan. Allah sebaik-baik perancang. Musim panjang selepas ini. Saya akan kembali!” luah Azeem dalam laman sosialnya.

Berdasarkan undang-undang olahraga antarabangsa, hanya catatan yang menerima bantuan angin +2s kebawah sahaja boleh diterima.

Lariannya di Stadium Hodges itu berada di kedudukan ke-11 daripada 24 peserta dengan Rodney Heath Jr dari Louisiana Tech bergelar pemenang menerusi 9.99s.

Atlet berusia 19 tahun yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Auburn, Alabama mencatat 10.09s semasa Kejuaraan Dunia Remaja di Cali Colombia 1 Ogos tahun lalu.

Loading...
Terkini