Tumpuan :
Sukan

OLAHRAGA: Azeem Fahmi pecut ke perlumbaan akhir, Khairul Hafiz dan Zaidatul Husniah kandas

Azeem Fahmi membuat pecutan sensasi apabila mara ke peringkat akhir, larian Khairul Hafiz & Zaidatul Husniah pula terhenti di separuh akhir 100M di Bangkok.

BANGKOK: Malaysia tetap mempunyai wakil di perlumbaan akhir acara reben biru 100 meter (M) di Kejuaraan Asia ke-25 di Stadium Nasional, Supachalasai jam 7.50 malam ini.

Muhammad Azeem Mohd Fahmi menjadi sandaran tunggal apabila berada di tempat kedua peringkat separuh akhir menerusi catatan 10.35 saat (S).

Perlumbaan pertama itu diungguli Ryuichiro Sakai dari Jepun yang melepasi garisan penamat dengan kepantasan 10.23S.

Rakan sepasukan, Khairul Hafiz Jantan yang beraksi di separuh akhir kedua pula menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada tujuh peserta.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatat 10.50S sekaligus tidak mampu menempatkan diri dalam kedudukan lapan terbaik ke pertarungan kemuncak malam ini.

Sandaran tunggal kem wanita menerusi Zaidatul Husniah Zulkifli pula tidak bernasib baik semasa perlumbaan separuh akhir kedua petang tadi.

Zaidatul Husniah dipintas saat akhir menuju garisan penamat oleh Aziza Sbaity menyebabkan berada di tempat keempat mencatat 11.67S.

Kelebihan tipis 0.02 saat milik pelari Lubnan itu menyebabkan harapan Malaysia ke perlumbaan kemuncak acara pecut 100M di Bangkok musnah.

Loading...
Terkini