Tumpuan :
Sukan

Nurul sedia pulih imej sukan renang negara

Nurul Huda raih 23 pingat emas sepanjang kariernya di Sukan SEA. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dalam usaha membawa sukan renang negara ke tahap lebih baik, bekas perenang kebangsaan Nurul  Huda Abdullah kembali semula ke sukan kegemarannya itu dengan peranan dalam bidang pengurusan.

Walaupun sudah meninggalkan kolam renang seawal usia 18 tahun, pengalaman beliau mengumpul 23 pingat emas sejak mengambil bahagian di Sukan SEA ke-13 tahun 1985 di Bangkok, Thailand, cukup ditagih dalam usaha memulihkan maruah Malaysia.

Nurul Huda berkata tanggungjawab yang dipikulnya kali ini tidak mudah dan memerlukan masa untuk mengembalikan kegemilangan sukan renang.

“Berikan saya dan muka baharu di Persekutuan Renang Malaysia (MS) kaji perenang yang berpotensi terlebih dahulu. Saya tidak boleh beri sebarang janji kerana sebarang kejayaan dalam sukan ini tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata, ia mengambil masa.

Sukan renang kita agak ketinggalan di belakang dan kami mahu memainkan peranan masing-masing. Kami tahu ia satu cabaran besar untuk bergerak ke hadapan tetapi kami sangat komited untuk menyumbang kepada prestasi perenang negara,” katanya.

Nurul Huda antara tiga muka baharu yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 MS bagi penggal 2023/2025 baru-baru ini. Dua lagi muka baharu adalah Ketua Jurulatih Renang Selangor, Marilyn Chua yang dipilih sebagai naib presiden dan calon dari Negeri Sembilan, Andy Low yang dipilih sebagai setiausaha agung.

Mengimbau zaman kegemilangan Nurul Huda, beliau pernah mencetus sensasi memenangi sembilan emas pada Sukan SEA1989 di Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini