Tumpuan :
Sukan

Nurul Izzah unggul pertahan emas, tewaskan juara dunia

Foto fail

NILAI: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, membuktikan keunggulannya apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu menewaskan pencabar yang lebih handal termasuk juara dunia dari Jepun, Mina Sato yang sekadar berada di kedudukan keenam dalam perlumbaan akhir untuk sekali lagi menaiki podium tertinggi di kejohanan berprestij berkenaan.

Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman mempamerkan kayuhan bertenaga dan strategi cemerlang untuk mengatasi pelumba Korea Selatan, Kim Haeun yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Guo Yufang dari China ketiga.

Ini adalah pingat ketiga Nurul Izzah dalam perlumbaan ACC tahun ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan dan gangsa dalam pecut individu wanita.

Pada ACC 2024 di New Delhi, India, Nurul Izzah mencipta kejutan apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas negara dengan memenangi acara keirin serta 500 meter ujian masa.

Dalam aksi final keirin lelaki, pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom hampir menggenggam emas sebelum dipintas pelumba Jepun, Shinji Nakano beberapa meter menuju ke garisan penamat untuk berpuas hati dengan perak.

Gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Jepun, Kaiya Ota.

Sementara itu, pelumba remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta sensasi apabila menamatkan kempen ACC kali ini dengan memenangi emas keduanya selepas mengungguli saingan pecut remaja wanita.

Pelumba berusia 17 tahun itu menewaskan Park Hye Rin 2-0 dalam aksi final untuk mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama Malaysia memenangi emas ACC dalam acara itu di peringkat remaja.

Penampilan pertama Sawda dalam ACC kali ini turut menyaksikan dia memenangi emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa dengan catatan rekod baharu dunia 1 minit 10.818 saat (s), kelmarin.

Dia juga meraih perak dalam acara pecut berpasukan bersama Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini