comscore
Tumpuan :
Sukan

Nurul Izzah raih tempat ketujuh keirin Kejohanan Dunia

Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menamatkan saingan acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia, Denmark di tempat ketujuh. – FOTO: MOM

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menamatkan saingan acara keirin di tempat ketujuh pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Denmark, sebentar tadi.

Terdahulu, Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman terlepas tiket untuk mara ke penentuan pingat emas selepas terkandas di peringkat separuh akhir yang menyaksikan dia berada di kedudukan kelima dalam saringan kedua sekali gus terpaksa beraksi dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga 12.

Pada aksi penentuan di Velodrom Ballerup Super Arena itu, Nurul Izzah yang juga juara Asia diberi tentangan sengit pelumba China, Wang Lijuan namun semangat tinggi ditunjukkan pelumba negara itu memastikan tempat ketujuh menjadi miliknya.

Pelumba Jepun, Sato Mina mencipta kejutan apabila muncul juara dunia dengan pingat perak dimenangi pelumba Belanda, Hetty van de Wouw manakala wakil Great Britain, Katy Marchant meraih gangsa.

Meskipun gagal melangkah penentuan emas tetapi pencapaian tempat ketujuh kali ini membolehkan Nurul Izzah memperbaiki pencapaian dalam penampilan pertamanya tahun lalu di Glasgow, Scotland yang menyaksikan dia tersingkir di pusingan pertama acara keirin.

Sementara itu, seorang lagi pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi terkandas di pusingan pertama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini