KUALA LUMPUR: Pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin sekali lagi mendapat peluang membuktikan kehebatan bersama skuad Harimau Malaya, apabila dipanggil menyertai pasukan bagi dua aksi getir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, bulan depan.
Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun, sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata Nur Shamie yang diletakkan dalam Senarai Bersedia, telah dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula hari ini bagi menggantikan penyerang Sabah FC, Darren Lok, yang mengalami kecederaan pangkal paha.
“Shamie, 29, menggantikan Darren Lok dari Sabah FC yang hadir melapor diri, semalam tetapi terpaksa dilepaskan hari ini, selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan hamstring.
“Semoga Darren cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata Pan Gon dalam hantaran Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Nur Shamie pernah memperkuatkan pasukan negara bimbingan Pan Gon pada kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, dan diturunkan dalam dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Laos dan Vietnam, serta aksi separuh akhir pertama bertemu Thailand.
Darren merupakan tonggak jentera serangan Harimau Malaya terbaharu yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan, selepas dua pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi serta dua penyerang Romel Morales dan Muhammad Syafiq Ahmad.
Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa mata.
Pasukan negara memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta melayakkan diri lebih awal ke Piala Asia 2027.
Oman dan Kyrgyzstan akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun di Muscat. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.