Skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan berharga 1-0 ke atas tuan rumah Mongolia pada aksi kedua Kumpulan J pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 di Ulaanbaatar hari ini.
Penyerang Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar sekali lagi muncul wira menerusi jaringan pada lewat separuh masa pertama untuk membantu Malaysia mengutip tiga mata penting dalam perlawanan berlangsung tegang di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) itu.
Jaringan itu menyaksikan Muhammad Nur Azfar muncul penjaring terbanyak skuad negara dengan mengumpul dua gol selepas meledak gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Laos 1-0 Isnin lepas.
Pada aksi hari ini, tiga pertukaran dibuat ketua jurulatih Brad Maloney apabila menurunkan Quentin Cheng dan Muhammad Hairiey Hakim Mamat di posisi sayap serta mempertaruhkan Mohamad Hakimi Abdullah di bahagian serangan.
Skuad muda negara bermula perlahan selain dikejutkan dengan layangan kad kuning seawal minit ketiga kepada penyerang Luqman Hakim Shamsudin, namun Malaysia berjaya mengawal perlawanan meskipun berdepan permainan agresif dan pantas pihak lawan.
Keputusan Maloney menggunakan khidmat Quentin dilihat berbaloi apabila pertahanan Penang FC itu berjaya membuat dua pintasan penting untuk mematahkan serangan berbahaya Mongolia yang mula mendapat rentak selepas minit ke-15 permainan.
Perlawanan semakin tegang memasuki minit ke-30 apabila pemain Mongolia dilihat bermain secara ‘keras’ selain melancarkan provokasi ke atas pemain negara, namun serangan psikologi itu tidak diendahkan anak buah Maloney yang fokus untuk memecah kebuntuan jaringan.
Serangan demi serangan Malaysia yang dipatahkan memaksa barisan pemain negara mengalihkan tumpuan kepada ‘set piece’ dan ia terbukti berhasil apabila Muhammad Nur Azfar menanduk masuk jaringan pada minit ke-40 selepas menerima hantaran rakan sepasukan berpunca dari sepakan sudut.
Muhammad Nur Azfar hampir menggandakan jaringan buat Malaysia pada minit ke-52 menerusi tandukan mengelirukan namun percubaannya sedikit melewati palang gol sebelum beliau digantikan dengan Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-60.
Skuad negara terus kempunan gol kedua apabila rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi hanya menggegar palang pada minit ke-75.
Biarpun Mongolia kekal dengan permainan agresif, separuh masa kedua terus menjadi milik Malaysia yang mengekalkan disiplin bertahan dengan baik selain tenang bermain dengan hantaran pendek hingga wisel penamat.
Selepas dua kemenangan, Malaysia kekal di kedudukan teratas Kumpulan J dengan enam mata sementara Thailand dan Mongolia masing-masing mengumpul satu mata di tempat kedua dan ketiga manakala Laos tercorot.
Thailand akan menentang Laos pada aksi kedua petang ini.
Malaysia menutup saingan kumpulan berdepan Thailand di venue sama Ahad ini.
Juara setiap kumpulan dan empat pasukan di kedudukan kedua terbaik pada kempen kelayakan itu akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan. – BERNAMA