SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk melakar kemenangan sulung di laman sendiri dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
PDRM FC berjaya bangkit pada penghujung babak untuk meleburkan impian Negeri Sembilan.
Kekalahan itu bakal memberi laluan sukar buat skuad Hobin Jang Hobin untuk melangkah ke pusingan seterusnya apabila bakal bertemu sekali lagi dengan PDRM dalam aksi timbal balik di tempat lawan.
Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan namun permainan bertambah rancak memasuki babak kedua.
Menerusi serangan balas dan situasi kelab kabut dalam kotak penalti, A Selvan berjaya memanfaatkan peluang apabila sepakannya menerjah jaring untuk gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-69.
Kapten Negeri Sembilan, Annas Rahmat kemudian berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun dia gagal mengambil kesempatan melalui gerakan solo dari bahagian apabila sepakannya melepasi palang walaupun hanya berdepan Tian Keat.
Kelekaan bahagian benteng Negeri Sembilan ternyata mengundang padah apabila pemain gantian, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menjaringkan gol penyamaan buat PDRM menerusi tandukan pada minit ke-89.
Kemenangan PDRM FC disahkan selepas Ifedayo Olusegun menjaringkan gol kemenangan PDRM pada masa kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.