comscore
Tumpuan :
Sukan

Nova kongsi formula cara atasi beregu Indonesia

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan bertemu Praveen-Melati pada aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC), esok. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto sudah mempunyai ramuan buat anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagi mengatasi pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC), esok.

Praveen-Melati yang juga bekas juara Seluruh England adalah pemain yang berada di bawah bimbingan Nova ketika bergelar ketua jurulatih beregu campuran skuad badminton Indonesia sebelum dia berhijrah ke Malaysia, awal tahun ini.

Nova, berkata dia sudah pastinya akan berkongsi ‘tips’ bersama Tang Jie-Ee Wei bagi menewaskan lawan berkenaan dalam usaha mereka meloloskan diri ke suku akhir kejohanan yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

“Sudah tentu perlawanan menentang Praveen-Melati tidak mudah. Namun, sedikit sebanyak saya tahu corak permainan mereka dan akan bincang dengan Tang Jie-Ee Wei bagi merancang strategi terbaik untuk bantu mereka menang dan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun untuk melangkah ke pusingan kedua BAC.

Masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran Masters Orleans, awal bulan ini, pasangan ranking ke-22 dunia itu melakar kemenangan 21-14, 21-13 ke atas Won Ho-Na Eun pada aksi pusingan pertama, malam tadi.

Mengulas mengenai kemenangan Tang Jie-Ee Wei ke atas beregu Korea itu, Nova berkata ia adalah hasil persiapan rapi yang dilakukan kedua-dua pemain bagi berdepan lawan berkenaan.

“Kita belajar daripada pertemuan ketika di Terbuka Jerman (bulan lalu) yang menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tewas kepada lawan itu (suku akhir). Kita buat persiapan dan kaji corak permainan pasangan Korea itu,” kata Nova.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 15-21, 22-20, 21-15 bagi mengesahkan tiket ke kelompok 16 terbaik.

Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan akan bertemu pasangan China, Cheng Xing-Chen Fang Hui pada aksi pusingan kedua.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 17-21, 13-21.

Loading...
Terkini