Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Pasukan Nova Esports mengekalkan dominasi pasukan dari Malaysia apabila gah bergelar juara Kejohanan Honor Of Kings Invitational (KIS) musim ketiga selepas mengatasi cabaran pasukan dari Korea Selatan, NongShim Redforce (NS Redforce) di pentas final.
Bagaimanapun, kejayaan Nova tidak hadir dengan mudah selepas dipaksa bekerja keras, bangkit dua kali sebelum mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan 4-3 pada aksi yang berlangsung di Manila, Filipina itu.
Nova yang dibarisi Nicholas Ng Kai Shuan (Xuan), Yu Lim Chen (Cy), Wang Jinwen (Wendy), Ong Jun Yang (Muci) dan Wai Min Jing (Weipit) bermula agak goyah pada ‘game’ pertama dengan NS lebih mendominasi terutamanya menerusi Min Kyung-Hyun (Kyoung9) yang menggunakan hero ‘Sun Ce’.
Dan selepas 16 minit, NS berjaya mendapatkan kemenangan pertama, memaksa Nova turun dengan strategi baharu pada ‘game’ kedua.
Segalanya kembali memihak Nova Esports pada perlawanan kedua, kali ini, gandingan Cy dan Muci memberikan kelebihan kepada pasukan negara dengan kedudukan kembali terikat selepas perlawanan berakhir dalam tempoh 15 minit.
Dan giliran Nova pula mengawal perlawanan selepas gah mengunci ‘game’ ketiga dalam tempoh 10 minit sahaja.
Aksi kemas yang disajikan menyaksikan Nova merakam 15 ‘kills’, hanya dibalas dengan 2 kematian sahaja untuk kedudukan semasa 2-1.
NS kembali membalas pada ‘game’ keempat, berjaya mengatasi cabaran sengit Nova untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum turut mengungguli perlawanan kelima, menyaksikan kelebihan kembali memihak pasukan dari Korea itu menerusi kedudukan semasa 3-2.
‘Game’ keenam, kebangkitan kembali dilakukan Nova dengan gandingan Xuan dan Weipit berjaya mengawal keseluruhan permainan menyaksikan mereka kembali mengikat kedudukan 3-3 selepas menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 14 minit itu.
Dan ‘game’ penentuan, aksi lebih sengit disajikan kedua-dua pasukan, menyaksikan pertarungan dua lawan dua di akhir perlawanan memihak Nova Esports selepas aksi kemas yang disajikan Xuan dan Cy, sekaligus mengesahkan status Nova Esports selaku juara KIS musim ketiga dengan keputusan akhir 4-3, mengulangi kejayaan sama yang telah dilakukan satu lagi pasukan Malaysia, LGD Gaming pada musim kedua tahun lalu.
Selaku juara, Nova Esports membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS100,000 selain trofi kejuaraan, sementara Xuan turut diangkat sebagai pemain paling bernilai pada perlawanan akhir berkenaan.
“Saya mahu berterima kasih kepada setiap rakan sepasukan saya, sudah tentu saya tidak akan dipilih sebagai pemain terbaik tanpa setiap ahli keluarga Nova Esports, dan juga kepada setiap individu yang memberikan sokongan, peminat dan keseluruhan keluarga Nova, terima kasih”, kata Xuan selepas diumumkan sebagai MVP perlawanan akhir.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.