KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya itu pada hujung tahun ini.
Keputusan itu menyaksikan Norza bakal mengosongkan kerusi nombor satu badan induk berkenaan lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.
Norza berkata keputusan itu dibuat selepas beliau sudah mempunyai beberapa nama calon yang berpotensi bagi menggantikan tempatnya menerajui BAM.
“Saya juga mahu buat pengumuman hari ini bahawa saya akan meletakkan jawatan pada penghujung tahun ini. Sebelum ini saya mengumumkan akan mengundurkan diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
“Bagaimanapun, saya sudah ada beberapa nama yang berpotensi (ambil alih jawatan) dan nama-nama berkenaan sudah diserahkan kepada ahli majlis. Kenapa perlu tunggu jika sudah ada calon berpotensi,” katanya ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
Norza turut menjelaskan keputusannya itu tiada kaitan dengan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan Datuk Misbun Sidek yang ditamatkan kontraknya lebih awal berbanding kontrak asal yang sepatutnya berakhir hujung tahun ini.
Sebagai rekod, Norza mula memegang tampuk kepimpinan BAM pada 2017, menggantikan tempat Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
Sepanjang enam tahun menerajui badan induk itu, Norza berjaya meletakkan BAM sebagai antara persatuan sukan kebangsaan yang berpengaruh selain mempunyai tahap kewangan yang kukuh.
Di bawah kepimpinannya juga, BAM beberapa kali diberi penarafan lima bintang oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang mengiktiraf pendekatan persatuan itu dalam isu urus tadbir serta pembangunan sukan daripada peringkat remaja hingga ke peringkat tertinggi.
Malah, Malaysia juga berjaya meraih gelaran juara dunia buat kali pertama menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tahun lalu.
Norza sebelum ini mengumumkan akan melepaskan jawatan selaku Presiden BAM sebaik tamat Sukan Olimpik 2024 bagi memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).
Selain mahu melepaskan jawatan selaku individu nombor satu BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.