comscore
Tumpuan :
Sukan

Nishimoto, Yamaguchi Juara Badminton Terbuka Jepun

OSAKA : Pemain tuan rumah, Kenta Nishimoto dan Akane Yamaguchi masing-masing memenangi gelaran perseorangan lelaki serta wanita pada badminton Terbuka Jepun di sini, hari ini.

Nishimoto yang juga pemain nombor ke-21 dunia, mengejutkan pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien-chen 21-19, 21-23, 21-17 sekali gus merangkul kejuaraan antarabangsa pertamanya, selepas tewas dalam enam perlawanan akhir sebelum ini.

Kemenangan Nishimoto itu memberikan sesuatu yang menggembirakan buat penyokong tuan rumah untuk bersorak selepas pilihan kedua dari Jepun, Kento Momota terdahulu tewas pada pusingan pertama.

Nishimoto, 28, berkata dia ‘sangat gembira dan juga sedikit lega’ selepas mendapat gelaran pertamanya itu.

Yamaguchi turut memberikan Jepun satu lagi kejuaraan untuk diraikan apabila menewaskan pemain Korea Selatan An Se-young 21-9, 21-15 dalam aksi final.

Dia mengekalkan kejuaraan dunia minggu lalu di Tokyo dan masih bertenaga untuk memenangi kejohanan ketiganya tahun ini. – Berita Harian / AFP

Loading...
Terkini