Tumpuan :
Sukan

Nilai pasaran Faisal Halim menurun 12.5 peratus

Faisal Halim.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran pemain Selangor FC, Faisal Halim dilapor mengalami penurunan daripada RM1.87 juta pada Disember lalu kepada RM1.63 juta ketika ini.

Berdasarkan nilai pasaran terkini di laman transfermarkt.com, penurunan itu adalah sebanyak 12.5 peratus.

Jumlah itu bagaimanapun boleh dianggap masih tinggi dengan Faisal atau lebih mesra disapa Mickey berada di kedudukan keempat senarai pemain Malaysia yang memiliki nilai pasaran termahal selepas kapten Harimau Malaya, Dion Cools (RM3.74 juta), Arif Aiman (RM2.8 juta) dan Matthew Davies (RM2.1 juta).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan faktor utama yang menyebabkan penurunan itu adalah kerana Faisal tidak dapat bermain seperti dahulu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan nilai itu boleh kembali meningkat sekiranya Faisal dapat beraksi lebih banyak perlawanan dan mempamerkan prestasi terbaik selepas ini.

“Nilai pasaran memang akan menurun sebab dia (Faisal) tidak beraksi lama dan tidak dapat banyak minit permainan. Semua itu, termasuk juga prestasi semasa akan ‘kacau’ nilai pasarannya.

“Kalau nak naik balik dia kena kembali kepada prestasi terbaik. Maknanya, dia kena berusaha keras untuk bermain dan dia juga perlu kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Jadi kita harapkan dia boleh kembali seperti dahulu kerana semua tahu Faisal pemain yang bagus dan memiliki semangat yang tinggi,” katanya kepada BH Sukan.

Faisal yang sebelum ini menjadi senjata penting buat Harimau Malaya dan Selangor berdepan detik malang apabila menjadi mangsa simbah asid pada Mei lalu.

Insiden menggemparkan negara itu menyaksikan Faisal mengalami luka melecur tahap empat di beberapa bahagian badan dan terpaksa menjalani proses pemulihan yang panjang.

Dia tampil buat kali pertama musim ini pada 10 Ogos lalu apabila masuk sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan ketika Selangor menentang Kelantan Darul Naim dalam aksi Liga Super.

Berdasarkan semakan di laman Liga Bolasepak Malaysia, Faisal hanya beraksi 77 minit 28 saat dalam lima aksi Liga Super musim ini dan 45 minit dalam saingan Piala Malaysia dengan dia letakkan dalam kesebelasan utama menentang Sri Pahang, kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini