comscore
Tumpuan :
Sukan

Nicol teruja segerakan pelan strategik skuasy ke Los Angeles 2028

Foto: Nicol David/ Facebook

KUALA LUMPUR: Teruja dengan penampilan skuasy dalam Sukan Olimpik Los Angeles, Datuk Nicol Ann David akan segera mengadakan perbincangan dengan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) serta pemegang taruh yang lain.

Nicol yang juga ahli jawatankuasa Road To Gold (RTG) berkata, ia bagi membangunkan pelan strategik dan kolektif untuk kemasukan skuasy ke program RTG bagi temasya berprestij itu.

“Sangat teruja apabila skuasy berada dalam Olimpik Los Angeles 2028. Sesuatu yang hebat untuk berkongsi apakah yang skuasy perlukan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila mengetahui jawatankuasa ada di sini untuk membantu.

“Harap di masa akan datang, kita dapat tetapkan kriteria diperlukan secara bersama. (Usaha) akan bermula sekarang kerana lima tahun bergerak pantas. Skuasy mempunyai potensi dan kita akan melakukan perbincangan bersama SRAM, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Kita akan bekerja secara berpasukan untuk mencari bagaimana kita boleh merancang dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Nicol kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa RTG, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RTG, meminta Nicol yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Olimpik Paris 2024 untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan berkaitan bagi membangunkan pelan strategik dan kolektif untuk memasukkan skuasy dalam fokus program RTG pada Los Angeles 2028.

Pada pertengahan bulan ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan skuasy disenaraikan di Olimpik Los Angeles 2028 selain besbol/sofbol, kriket dan dua sukan tradisi Amerika Syarikat iaitu flat football dan lacrosse.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini