Tumpuan :
Sukan

Ng Tze Yong tersingkir, cabaran perseorangan negara berakhir di Terbuka China

Ng Tze Yong gagal teruskan kecemerlangan tersingkir pada pusingan kedua Terbuka China. – Foto: Facebook Persatuan Malaysia (BAM)

CHENGDU: Hasrat peminat badminton negara menyaksikan Ng Tze Yong meneruskan kemaraan selepas cemerlang mengejutkan pemain nombor enam dunia dari India, Prannoy S.H pada pusingan pertama, nampaknya tidak kesampaian.

Tze Yong gagal melepasi pusingan kedua Kejohanan Badminton China pagi tadi selepas tumpas kepada pemain Indonesia Shesar Hiren Rhustavito.

Di atas kertas kelebihan dilihat berpihak Tze Yong selaku pemain ranking ke-22 dunia berbanding Shesar Hiren, ke-45 dunia dan awalnya Tze Yong bagai menepati ramalan, menang set pertama 21-18.

Namun, Tze Yong gagal meneruskan penguasaan membolehkan Shesar bangkit dan mudah memenangi set kedua 21-11.

Set penentuan semakin mendebarkan dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata.

Bagaimanapun Shesar membuktikan lebih unggul untuk mengesahkan laluan ke suku akhir selepas menamatkan set penentuan 22-20.

Menanti Shesar pada suku akhir, rakan senegara yang juga pilihan ke-5 kejohanan, Jonatan Christie.

Kesuraman kem negara bagaimanapun diceriakan dengan kejayaan dua gandingan campuran yang meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Kejutan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kalahkan pilihan dari Korea untuk mara ke suku akhir. – Foto: Facebook Persatuan Malaysia (BAM)

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang memulakan aksi di gelanggang tiga, mengejutkan pilihan ke-6 dari Korea Selatan, Kim Woh Ho dan Jeong Na Eun.

Bermula garang memenangi set pertama 21-15, Tan Jie dan Ee Wei bagaimanapun sukar membendung kebangkitan lawan yang menang set kedua 21-15.

Set penentuan terus sengit dan Tang Jie / Ee Wei mengekalkan fokus untuk mengesahkan tiket ke suku akhir, menang 21-18.

Lawan Tang Jie dan Ee Wei pada suku akhir, beregu Taiwan, Ye Hong Wei  dan Lee Chia Hsin.

Turut ke suku akhir satu lagi gandingan campuran Tan Kian Meng Lai Pei Jing yang beraksi di gelanggang 3.

Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama, untuk mengalahkan  pasangan Indonesia, Parveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12.

Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing bangkit tundukkan pasangan Indonesua untuk melangkah ke suku akhir. – Foto: Facebook Persatuan Malaysia (BAM)

Halangan Kian Meng dan Pei Jing pada suku akhir dilihat lebih sukar, menentang pilihan ke-4 dari Thailand, Decapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Malaysia masih memiliki lima wakil yang akan bertarung pada pusingan kedua hari ini,

Beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin / Teo Ee Yi serta tiga pasangan wanita, Pearly Tan / M Thinaah, Anna Chin Yik  Cheong /  Teoh Mei Xing dan Vivian Hoo / Lim Chiew Sien.

Loading...
Terkini