comscore
Tumpuan :
Sukan

Neymar ACL, mungkin diketepikan beberapa bulan

Penyerang Brazil, Neymar menjerit dalam kesakitan selepas mengalami kecederaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Uruguay di Montevideo pagi semalam. – FOTO Reuters

RIO DE JANEIRO: Penyerang Brazil, Neymar akan diketepikan selama beberapa bulan berikutan dia memerlukan pembedahan selepas mengalami kecederaan ACL serta meniskus di lutut kirinya ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay semalam, kata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF).

Pemain berusia 31 tahun itu terjatuh selepas berlaga dengan pemain Uruguay, Nicolas de la Cruz pada minit ke-44 ketika kekalahan 2-0 itu, memegang lutut kirinya dalam kesakitan dan menjerit memanggil pegawai perubatan.

Neymar, yang mengikat kontrak bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada Ogos lalu, meninggalkan padang dalam tangisan menaiki kereta pengusung selepas mendapat rawatan beberapa minit dan imbasan MRI semalam mengesahkan kecederaan itu.

 

“Penyerang itu akan menjalani pembedahan, pada tarikh yang belum ditentukan, untuk merawat kecederaan itu. Jabatan perubatan pasukan kebangsaan Brazil dan Al-Hilal sentiasa berhubung dan sejajar dalam usaha pemulihan atlet ini,” kata CBF dalam satu kenyataan pagi ini.

Karier Neymar sering dibelenggu kecederaan. Dia terpaksa berehat sebanyak tiga kali dalam jangka masa panjang bersama bekas kelabnya Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengalami kecederaan kaki kanan.

Pada Piala Dunia 2014, dia mengalami kecederaan belakang ketika menang aksi suku akhir ke atas Colombia, menyebabkannya diketepikan ketika tewas 7-1 kepada Jerman pada separuh akhir.

Pada temasya sama pada 2018 di Russia, kecederaan sekali lagi memusnahkan impiannya untuk memenangi Piala Dunia. Pada awal tahun itu, Neymar mengalami kecederaan buku lali kanan yang menjejaskan tulang metatarsal di kakinya.

Pertembungan antara Neymar (kanan) dan pemain tengah Uruguay, Nicolas de la Cruz yang menyebabkan kecederaan bintang Brazil itu pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Montevideo pagi semalam. – FOTO Reuters

Dia terlepas 16 perlawanan buat PSG pada hujung musim 2017-18 dan gagal cergas sepenuhnya ketika beraksi dalam kesakitan buat Brazil di Russia hingga mereka disingkirkan oleh Belgium pada separuh akhir.

Penyerang itu mengalami kecederaan sama pada tahun 2019, 2021 dan pada Piala Dunia tahun lalu di Qatar.

Awal tahun ini, dia menjalani pembedahan buku lali kanan yang memerlukan pemulihan selama lima bulan sebelum meninggalkan PSG untuk mengikat kontrak dua tahun bersama Al-Hilal.

Sementara itu, kelabnya Al-Hilal turut mengesahkan kecederaan Neymar yang memerlukan pembedahan.

Dalam satu kenyataan yang menggunakan gambar Neymar menjerit dalam kesakitan berbunyi “Ujian perubatan yang dijalani Neymar mengesahkan kecederaan ACL dan meniskus di lututnya.

“Dia akan menjalani pembedahan dan kemudian program rawatan yang akan ditentukan kemudian. Kembali dengan kuat Neymar.” – REUTERS/AGENSI

Loading...
Terkini