comscore
Tumpuan :
Sukan

Newcastle tumbangkan PSG 4-1

Sean Longstaff meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga buat Newcastle. – FOTO REUTERS

NEWCASTLE : Newcastle United mempamerkan aksi cemerlang untuk mengesahkan kemenangan besar 4-1 ke atas Paris St Germain,
pada aksi pertama Liga Juara-Juara (UCL) di tempat sendiri dalam tempoh 20 tahun, awal pagi tadi.

PSG nyata gagal menyaingi tuan rumah yang membuka jaringan pada minit ke-17 menerusi Miguel Almiron sebelum Dan Burn menjaringkan gol kedua bagi Newcastle enam minit sebelum rehat.

Hanya lima minit selepas babak kedua bersambung, Sean Longstaff pula meledak gol ketiga menewaskan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma membuatkan penonton semakin bersemangat.

Jaringan Lucas Hernandez pada minit ke-56 seakan memberi harapan kepada pasukan pelawat.

Namun, ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan, Fabian Schar meledak gol keempat The Magpies, sekali gus
membolehkan Newcastle berada di tangga teratas Kumpulan F dengan empat mata, satu mata di depan PSG.

“Ia malam yang menakjubkan untuk kami, begitu banyak cerita untuk dibincangkan dalam permainan ini. Saya gembira untuk kelab dan penyokong apa yang mereka berikan kepada kami malam ini adalah luar biasa.

“Mereka (PSG) pasukan yang bagus dan kami perlu bertahan dengan sangat baik. Semangat kami sangat cemerlang. Kami mencipta perkara positif pada babak pertama, dan tekanan agresif menjadi tanda kejayaan kami,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe. – AGENSI

Loading...
Terkini