Tumpuan :
Sukan

Negeri Sembilan kembali catat kemenangan di Paroi

Pemain Negeri Sembilan, Muhammad Harith Samsuri (kiri) mengasak pemain Kedah Darul Aman FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO NSTP

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali mencatat kemenangan di laman sendiri apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Ini kemenangan kedua dicatatkan skuad Hobin Jang Hobin di laman sendiri selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC, sebelum ini.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan dari segi kedudukan pasukan itu dalam carta liga apabila kekal di tangga kedua tercorot dengan mengumpul 15 mata, dua mata di belakang Sri Pahang.

Pada perlawanan itu, tidak banyak aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan, terutama dalam tempoh 30 minit pertama apabila tiada percubaan terbaik dapat disaksikan susulan
ketumpulan bahagian serangan kedua-dua pasukan.

Serangan yang cuba diatur Negeri Sembilan melalui gandingan A Selvan dengan Hein Htet Aung juga gagal menembusi benteng Kedah yang dikawal kemas Mohd Akmal Md Zahir, Mohd Loqman Hakim Marzuki dan Muhamad Kamil Akmal Abd Halim.

Bagaimanapun usaha keras Negeri Sembilan untuk mendapatkan jaringan akhirnya terhasil pada minit ke-39.

Jaringan berpunca daripada sepakan bola mati dari jarak kira-kira 30 meter yang diambil Takumi Sasaki, dan bola yang menuju ke gawang gagal ditangkap kemas penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, sekali gus dimanfaatkan dengan baik pemain pertahanan, Muhamad Harith Samsuri, dengan merembat deras bola ke dalam gawang untuk gol pertama tuan rumah.

Bersambung babak kedua, anak buah Victor Andrag dilihat berusaha meningkatkan prestasi mereka dengan melakukan beberapa serangan ke kawasan gol Negeri Sembilan.

Pelawat berpeluang mendapatkan gol penyamaan melalui gerakan solo Milos Gordic yang berjaya melepasi dua pertahanan Negeri Sembilan, namun percubaannya ke arah gol pada minit ke-70, ditepis penjaga gol tuan rumah, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Sebaliknya, Negeri Sembilan melalui serangan balas berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan Selvan yang memanfaatkan bola hantaran lintang daripada Hein pada minit ke-85.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini