Tumpuan :
Sukan

Nasib Melaka, Sarawak Diketahui 28 Oktober

Stuart sahkan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab akan bincang rayuan Melaka dan Sarawak pada 28 Oktober ini.

KUALA LUMPUR: Nasib Melaka United dan Sarawak United sama ada boleh beraksi atau tidak dalam saingan Liga Super musim depan bakal diketahui pada 28 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab akan membincangkan mengenai rayuan dua pasukan itu untuk mendapatkan lesen kebangsaan pada tarikh itu.

Mengesahkan kedua-dua pasukan itu sudah mengemukakan rayuan sebelum tarikh tutup jam 5 petang semalam, Stuart berkata, segala keputusan hanya diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan.

“Sarawak sudah kemukakan rayuan pada 18 Oktober berserta dokumentasi yang mereka hendak serahkan dan semalam, pada jam 4.54 petang iaitu enam minit sebelum tutup tempoh rayuan, Melaka United pula menyerah dokumentasi dan surat rayuan.

“Segala keputusan jawatankuasa di luar bidang sekretariat. Dalam surat rayuan mereka tak boleh kemukakan dokumen baharu, memang betul.

“Tetapi mungkin mereka (Melaka dan Sarawak) ada fakta yang mungkin terlepas pandang FIB (First Instance Body), namun bukan dokumen baharu,” katanya kepada BH Sukan.

Pada 12 Oktober lalu, FIB mengumumkan bahawa Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan lesen kebangsaan dan kedua-dua pasukan itu memiliki talian hayat untuk mengemukakan rayuan sehingga jam 5 petang semalam.

Seandainya rayuan yang dikemukakan dua pasukan itu juga gagal, maka mereka bakal tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan.

Ia bermakna, Liga Super musim depan akan diteruskan dengan 16 pasukan berbanding 18 pasukan mengikut perancangan awal MFL. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini