KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pasukannya bernasib baik apabila tidak tewas kepada Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit, malam tadi.
Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor bagaimanapun menjelaskan baginda mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan keputusan seri tanpa jaringan yang diraih Harimau Selatan dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim itu.
“Nasib kurang baik. (Banyak) melihat bola, kesilapan bodoh, satu mata. Nasib baik tak kalah. Apa-apa pun saya ambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Saya pun sudah kenal pasti apa perlu saya, jurulatih dan kelab buat untuk meningkatkan serta memperbaiki pasukan ini.
“Terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua. Saya amat menghargainya. Selamanya JDT,” tulis Tunku Mahkota Ismail dalam satu komen di laman Instagram kelab, officialjohor.
Pada aksi keenam ACLE itu menyaksikan dua pemain JDT, Murilo Henrique dan Park Jun Heong dilayangkan kad merah pada minit ke-13 dan masa kecederaan.
Buriram United pula kehilangan seorang pemain selepas Theerathon Bunmathan turut dilayangkan kad merah pada minit ke-45 susulan tindakan ‘memalukan’ terhadap Arif Aiman Hanapi.
Satu mata yang diraih menyaksikan JDT berada di kedudukan keenam Zon Timur dengan mengumpul lapan mata, manakala Buriram United yang turut meraih mata sama di tangga kelapan.
Selepas mengharungi enam perlawanan, skuad Harimau Selatan merekodkan dua kemenangan, dua seri dan tewas dua kali.
Skuad kendalian Hector Bidoglio seterusnya akan berdepan Central Coast Mariners dan Pohang Steelers pada 11 dan 18 Februari depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.