KUALA LUMPUR: Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menerima penghargaan apabila namanya tersenarai Dewan Kemasyhuran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Hong Kong, malam tadi.
Pemain lain dari sukan itu yang turut tersenarai adalah legenda Pakistan, Jansher Khan, Susan Devoy (New Zealand) dan Jahangir Khan (Pakistan).
Nicol dalam laman Facebooknya mengakui bahawa pengiktirafan itu amat bermakna bagi dirinya selepas bersara pada 2019.
“Hari yang sangat bermakna bagi saya. Pengiktirafan ini menandakan saya mencipta sejarah dan sukar untuk saya percayai.
“Saya fikir selepas ini, saya boleh menumpukan apa yang boleh untuk mengembangkan sukan ini. Misi saya sekarang adalah mengenai yayasan saya, untuk membantu kanak-kanak, keluarga dan komuniti di Malaysia dengan harapan pada satu hari nanti, semua usaha ini akan diiktiraf di Malaysia dan dunia.
“Saya mahu mendedikasikan pengiktirafan ini kepada ibu bapa, jurulatih Liz Irving, pasukan sokongan saya dan Malaysia kerana sentiasa menyokong di sepanjang karier saya,” katanya.
Untuk rekod legenda berusia 41 tahun itu pernah meraih lima gelaran di Terbuka British, memenangi dua pingat emas di Sukan Komanwel dan tujuh emas di Sukan Asia, masing-masing dalam acara individu dan berpasukan.
Nicol turut menubuhkan Organisasi Nicol David – salah satu program pembangunan skuasy yang menerima sokongan Yayasan PSA – dan selepas itu diiktiraf sebagai ahli Akademi Sukan Dunia Laureus pada 2021.
Sementara itu Ketua Pegawai PSA, Alex Gough berkata: “Nicol dan Jansher adalah dua figura ikonik dalam sejarah skuasy dan kedua-duanya meninggalkan legasi dalam sukan ini.
“Nicol menjadi inspirasi kepada kebanyakan pemain skuasy – di Malaysia dan seluruh dunia – dan rekodnya selama sembilan tahun secara berterusan di puncak ranking dunia pastinya sukar untuk ditandingi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.