Oleh: Puteri Nur Aqasya Mohd Azam & Saiyed Ismail Saiyed Hussin
NILAI: Pengorbanan sudah sebati di dalam hidup jaguh basikal trek negara Datuk Muhammad Azizulhasni Awang apabila tidak pulang meraikan Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini.
Statusnya sebagai atlet negara, malah mempunyai pertandingan penting kurang sebulan sahaja lagi membuatkan pelumba berusia 35 tahun itu memutuskan untuk tidak beraya bersama keluarga sebaliknya mengisi masa dengan melakukan latihan sendiri di Velodrom Nasional Malaysia.
“Saya memilih untuk berada di Nilai berbanding bersama keluarga di Ipoh dengan isteri dan anak-anak untuk menyambut Aidiladha memandangkan saya ada tiga minggu sahaja lagi sebelum ke Kejuaraan Dunia di Glasgow nanti,” katanya yang berada di velodrom selepas solat sunat Aidiladha.
“Lepas tiga minggu kita akan terbang ke Eropah, untuk persiapan terakhir di sana selama lima hari, kemudian kita akan ke Glasgow untuk berlumba.”
“Disebabkan itu saya rasa saya perlulah juga mengambil iktibar daripada pengorbanan Raya Korban itu sendiri, untuk diri saya, berkorban, dalam sambutan Hari Raya tu, walaupun tidak dapat bersama keluarga tetapi atas kepentingan negara, kerjaya saya, terpaksalah saya berkorban Hari Raya Haji ini,” jelas Datuk Azizulhasni lagi.
Beliau juga meluahkan ini bukan kali pertama dirinya tidak menyambut Hari Raya, kerana sudah banyak kali membuat perkara sama baik semasa Aidilfitri mahupun Aildiladha ketika mula-mula dihantar berlatih ke luar negara di Melbourne, Australia sewaktu berusia 18 lagi.
“Kadang-kadang tak dapat beraya dan semasa raya tu ada pertandingan. Waktu Hari Raya pun pagi-pagi lepas subuh kita dah pergi ke gimnasium ke, berkayuh dulu ke, lepas itu baharu ke masjid, untuk sembahyang raya dan sebagainya”.
Itu harga yang perlu dibayar Datuk Azizulhasni untuk berada di puncak dunia tambahan pula baharu memenangi dua lagi pingat emas masing-masing dalam acara pecut dan keirin di Kejuaraan Asia di Nilai minggu lalu, sekaligus meletakkan antara pelumba Asia terhebat menerusi rekod tersendiri mengumpul 12 pingat emas keseluruhan sejak 2007.
Juara dunia keirin 2017 di Hong Kong itu menyatakan kehidupan beliau di luar negara turut menuntut pengorbanan tinggi, antaranya disiplin kehidupan dan berdikari menjalani program latihan secara sendiri tanpa jurulatih disisi.
“Nak jadi atlet negara sebenarnya tak mudahlah, mungkin orang nampak kita menang, kejayaan dan sebagainya tetapi disebalik itu beginilah. Mungkin ada orang yang boleh bersama keluarga, rakan-rakan sambut Hari Raya, tapi kita kena berkorbanlah, sama ada kita nak ke tak nak kan.”
Individu yang turut mempunyai nama gelaran ‘Pocket Rocket Man’ kerana gaya pecutan tersendiri dari bahagian dalam kelompok pelumba itu juga menyifatkan rakan seperjuangannya iaitu atlet selaku ‘frontliner’ sukan negara tidak pernah lekang dari berkorban baik dari segi tenaga, masa dan usia tidak ternilai banyaknya.
“Contohnya saya duduk di Melbourne sejak usia 18-19 tahun, berbelas tahun disana, jadi mungkin satu masa nanti kalau dapat menang emas olimpik ganjaran sejuta, oh seronoknya kan. Tapi sejuta tu tak ada apa dibandingkan dengan waktu yang saya telah tinggal macam tu sahaja,” jelas bapa kepada dua orang anak perempuan itu lagi.
Beliau sudah menaiki podium pingat gangsa keirin di Olimpik 2016 Rio dan perak Olimpik 2020 Tokyo justeru sedang bersiap sedia membuat kayuhan emas sulung yang dinanti-nanti negara di temasya kelimanya pada Olimpik 2024 Paris kurang setahun sahaja lagi.