PARIS: Juara 22 kali Grand Slam, Rafael Nadal mengumumkan persaraannya daripada tenis profesional pada akhir musim ini.
“Hallo semua. Saya di sini untuk memberitahu anda bahawa saya bersara dari tenis profesional.
“Realitinya adalah bahawa ini adalah beberapa tahun yang sukar, terutama dua tahun ini. Saya tidak rasa saya dapat bermain tanpa batasan. Ini adalah keputusan yang sukar untuk saya.
“Tetapi, dalam hidup ini, semuanya ada permulaan dan akhir..dan saya rasa ini adalah masa yang sesuai untuk menamatkan karier yang telah lama dan jauh lebih berjaya daripada yang saya bayangkan,” kata Nadal, 38, dalam bahasa Sepanyol menerusi satu video yang dimuat naik ke media sosial.
Nadal akan menamatkan karier profesionalnya selepas 23 tahun dengan mewakili Sepanyol dalam Piala Davis yang bermula 19 hingga 24 November ini.
“Saya sangat teruja bahawa kejohanan terakhir saya adalah final Piala Davis dan mewakili negara saya.
“Saya merasa sangat bertuah untuk semua pengalaman yang saya dapat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada industri tenis secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam pada itu, bintang tenis Switzerland, Roger Federer menyampaikan penghargaannya untuk semua kenangan dan pencapaian luar biasa dalam sukan tenis.
“Terima kasih untuk kenangan yang tidak dapat dilupakan dan semua pencapaian luar biasa anda dalam permainan yang kita cintai,” katanya.
Pada masa yang sama, juara 22 kali Grand Slam dari Serbia, Novak Djokovic menyifatkan Nadal sebagai seorang pemain yang telah menginspirasi jutaan kanak-kanak untuk mula bermain tenis.
“Saya rasa itu adalah pencapaian terbesar yang boleh diimpikan oleh sesiapa pun. Ketabahan, dedikasi, dan semangat juang anda akan diajarkan selama beberapa dekad.
“Legasi anda akan hidup selamanya. Terima kasih kerana mendorong saya dalam banyak persaingan dan memberi impak yang besar kepada saya sebagai seorang pemain tenis,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.