comscore
Tumpuan :
Sukan

MUSA Beri Bayangan Ambil Alih Melaka United

FOTO: NSTP

MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) membayangkan bakal mengambil alih dan menyusun semula Melaka United bermula musim depan.

Presiden MUSA, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, pengambilalihan itu bagi memastikan skuad Hang Tuah tidak lagi terkubur susulan kemelut gaji yang berlaku dengan pengurusan ketika ini sehingga pasukan berkenaan tersingkir lebih awal di pentas Piala Malaysia.

Katanya, perkara terbabit bakal dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.

“Tun Mohd Ali memandang serius perkara yang berlaku dan akan mengadakan pertemuan bersama pihak Kenteam Sdn Bhd sendiri untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Bagi musim 2023, saya sendiri akan melantik peguam untuk menyediakan perjanjian dengan memastikan MUSA menjadi pemilik 40 peratus saham dan baki 60 peratus lagi akan dipecahkan kepada empat syarikat swasta baharu.

“Kita akan berbincang secara terperinci bersama EXCO dan semua yang terbabit sama ada akan menukar nama baharu untuk pasukan Melaka tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Luar Biasa MUSA di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden MUSA Datuk Khairi Anuar Ahmad dan barisan EXCO.

Pada kongres terbabit, Nur Azmi turut mengumumkan Datuk Karim Yaacob sebagai Setiausaha Agung MUSA yang baharu selepas peletakan jawatan Ir Ahmad Roslee Hamzah.

Sementara itu, bagi isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC, Nur Azmi berkata, pihaknya meminta Kenteam Sdn Bhd untuk menyelesaikan segala tunggakan yang berlaku memandangkan MUSA sama sekali tidak terbabit berkaitan aspek pembayaran.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini