KUALA TERENGGANU: Pemain tengah, Juan Muniz muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas jaringannya membantu menundukkan Terengganu FC (TFC) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu gah di persada liga dengan mengumpul 52 mata selepas 18 perlawanan manakala TFC kekal di tangga keempat dengan 24 mata selepas 16 perlawanan.
Kekalahan ini adalah yang ketiga buat skuad Penyu kepada pasukan itu termasuk pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia sebelum ini.
Pada perlawanan berkenaan, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membuka tirai jaringan menerusi Muniz yang memanfaatkan hantaran jauh Park Jun Heong pada minit ke-12.
Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat pemain tuan rumah yang hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-20, namun berjaya dipatahkan pertahanan pelawat.
TFC terus mengasak dua minit kemudian menerusi Nelson Bonilla, tetapi pemain kebangsaan El Salvador itu gagal menyudahkan peluang terbaik biarpun sudah memperdaya penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.
Aksi berbalas serangan antara kedua-dua pasukan ternyata menghiburkan lebih 2,000 peminat setia yang hadir dengan percubaan terakhir TFC pada babak pertama menerusi Akhyar Rashid hampir menerjah jaring pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua pelawat hampir menambah jaringan menerusi sepakan voli Eddy Israfilov tetapi percubaannya sedikit tersasar di sebelah kiri sekali gus terselamat kubu tuan rumah yang dikawal penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Pada penghujung permainan, TFC memiliki dua peluang terbaik tetapi rembatan jarak jauh Tukhtasinov dan pemain gantian, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol.